Tarikh diterbitkan : 24 Mar 2021

Majlis Sambutan Hari Juruukur Sedunia 2021

SELANGOR, 22 Mac - YBhg. Dato' Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia telah merasmikan Sambutan Hari Juruukur Sedunia 2021 bertempat di Prima Grand Ballroom, Wisma LJT pada hari ini. Turut hadir ialah YBrs. Sr Sohaime bin Hj. Rasidi, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II; YBhg. Datuk Sr Hj. Ismail bin Harun, Setiausaha Lembaga Jurukur Tanah Malaysia; YBhg. Dato' Sr Thiruselvam Arumugam, Presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia dan pegawai-pegawai kanan di Ibu Pejabat JUPEM.

Sambutan Hari Juruukur Sedunia 2021 yang bertemakan "Surveyors As Geospatial Frontliners: Pandemic - Proofing Our Profession" turut disertai oleh JUPEM Negeri/Bahagian secara dalam talian bagi mematuhi SOP PKPB yang masih berkuat kuasa.

Bersempena majlis tersebut, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia turut melancarkan empat (4) buah buku iaitu Buku Pelan Perancangan Strategik JUPEM (2021-2025), Buku Pelan Perancangan Strategik Pendigitalan JUPEM (2021-2025), Buku Garis Panduan Pengurusan Perolehan dan Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi JUPEM (2021-2024).

Bagi memeriahkan lagi majlis ini, JUPEM turut menjemput YBhg. Dato' Ustaz Badli Shah bin Alauddin untuk memberi ceramah motivasi secara maya yang bertajuk “Keberkatan Bekerja Dalam Norma Baharu” dan disusuli dengan sesi taklimat Malaysian Geodetic Reference Frame (MGRF) 2020 yang disampaikan oleh YBrs. Sr Dr. Mohd Yunus bin Mohd Yusoff, Pengarah Ukur Bahagian (Ukur Geodetik).

Sambutan ini diakhiri dengan sesi penyerahan Replika Peta Topografi Terpanjang kepada wakil Bahagian dan JUPEM Negeri.