Tarikh diterbitkan : 10 Apr 2023

MESYUARAT KETIGA KUMPULAN KERJA DASAR DAN PENGEMASKINIAN NAMA GEOGRAFI (KKDPNG) | 6 APRIL 2023

MESYUARAT KETIGA KUMPULAN KERJA DASAR DAN PENGEMASKINIAN NAMA GEOGRAFI (KKDPNG) | 6 APRIL 2023

Mesyuarat Ketiga Kumpulan Kerja Dasar dan Pengemaskinian Nama Geografi (KKDPNG) telah diadakan pada 6 April 2023 (Khamis) bermula pada jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Persidangan, Wisma JUPEM. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Sr Saiful Wazlan bin Wahab, Pengarah Ukur Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan selaku Pengerusi KKDPNG.

Fungsi kumpulan kerja ini bukan sahaja untuk menyelaras dan menyediakan hala tuju pengemaskinian nama-nama geografi malah berperanan menggariskan serta menjelaskan dasar, prinsip dan prosedur penentuan nama geografi.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh seramai 26 ahli mesyuarat daripada pelbagai agensi dan jabatan yang terdiri daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), PLANMalaysia, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Pusat Hidrografi Negara (PHN), Pusat Geospatial Negara (PGN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mesyuarat tersebut telah membincangkan perkara-perkara seperti status pengemaskinian buku Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Edisi Ke-3 dan pengemaskinian Pangkalan Data Nama Geografi (PDNG) Fasa III bagi Peta Bandar serta pengemaskinian senarai buku Nama Pulau dan Entiti Geografi (NPEG). Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa buku Garis Panduan Penentuan Nama Geografi dalam dwi bahasa akan disediakan setelah buku Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Edisi Ke-3 dimuktamadkan.

Selain daripada isu-isu yang telah dibincangkan, pihak PLANMalaysia telah membuat pembentangan berkaitan Cadangan Penetapan Nama Geografi kampung bagi negeri- negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pembentangan tersebut turut melibatkan demonstrasi portal aplikasi Spatial Characteristics of Rural Malaysia System (S-CHARMs) yang boleh memaparkan dan berfungsi menganalisis maklumat spatial kampung dan kemudahan awam kampung secara web-based dan aplikasi mudah alih. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 12.15 tengah hari.