Tarikh diterbitkan : 23 Jun 2024

MESYUARAT PENYELARASAN BAGI PROJEK PENANDAAN DAN PENGUKURAN SEMPADAN BERSAMA NEGERI KELANTAN DAN NEGERI PERAK | 15 Mei 2024

MESYUARAT PENYELARASAN BAGI PROJEK PENANDAAN DAN PENGUKURAN SEMPADAN BERSAMA NEGERI KELANTAN DAN NEGERI PERAK  | 15 Mei  2024

Bahagian Ehwal Persempadanan (BEP), JUPEM telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Projek Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama di antara Negeri Kelantan dan Negeri Perak bertempat Wisma JUPEM, Ibu Pejabat JUPEM dengan dipengerusikan oleh Sr Powzy bin Mohd Som, Timbalan Pengarah Ukur BEP. Mesyuarat peringkat JUPEM yang pertama kali diadakan ini sejak kali terakhir pada tahun 2016 telah dihadiri oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Perak iaitu Sr Mohamed Sofian bin Abu Talib, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Kelantan iaitu Sr Jamil Faisal bin Yusoff, wakil-wakil pegawai bermandat daripada BEP, Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung, Pejabat Topografi Wilayah Kuala Lumpur, Pejabat Topografi Wilayah Taiping, Pejabat Topografi Wilayah Segamat, Pejabat Topografi Wilayah Kuantan, JUPEM Perak dan JUPEM Kelantan  yang terlibat secara langsung dalam urusan persempadanan sekor ini.

Punca kuasa kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan bersama antara Negeri Perak dan Negeri Kelantan yang dilaksanakan oleh JUPEM adalah berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU-2) Hasrat Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama di antara Negeri Perak dan Negeri Kelantan yang telah dipersetujui dan ditandatangani pada tahun 2016 oleh kedua-dua pihak Kerajaan Negeri. Kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan telah dilaksanakan oleh JUPEM melalui Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung bermula 13 Ogos 2016 dan siap kerja di lapangan pada 18 Oktober 2023. 

Kini, kerja-kerja peringkat pemprosesan data ukuran dan penyediaan pelan-pelan kerja sedang giat diusahakan yang kelak akan dikemukakan kepada pihak Kerajaan Negeri terlibat untuk persetujuan dan proses selanjutnya sebelum pemeteraian sempadan antara negeri dapat dimuktamadkan.

Fakta umum, asas penentuan sempadan bersama antara Negeri Kelantan dan Negeri Perak adalah berdasarkan kepada 𝘈𝘨𝘳𝘦𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵 𝘉𝘰𝘶𝘯𝘥𝘢𝘳𝘺 𝘣𝘦𝘵𝘸𝘦𝘦𝘯 𝘚𝘪𝘢𝘮 𝘢𝘯𝘥 𝘚𝘵𝘢𝘵𝘦𝘴 𝘰𝘧 𝘗𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘢𝘯𝘥 𝘗𝘢𝘩𝘢𝘯𝘨 bertarikh 29 November 1899 dan diwartakan melalui Perak Government Gazette No. 14 bertarikh 15 Mei 1900 [Rekod dari The National Archive Kew (Foreign Office: FO 93/95/17)].

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua ahli pasukan kerja luar daripada Pejabat Topografi Wilayah Taiping, Pejabat Topografi Wilayah Segamat dan Pejabat Topografi Wilayah Kuantan di atas komitmen padu melaksanakan ukuran di lapangan. Syabas!