JUPEM @ SESI KE-3 UNITED NATIONS GROUP OF EXPERTS ON GEOGRAPHICAL NAMES (UNGEGN) | 1-5 MEI 2023
Sesi Ke-3 United Nations Group of Experts on Geographical Names (UNGEGN) telah diadakan dari 1 hingga 5 Mei 2023 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat. Antara objektif sesi tersebut adalah untuk menyediakan satu platform kepada pakar-pakar dalam bidang geografi, kartografi, maklumat geospatial, linguistik dan sejarah yang saling berkaitan dari seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik serta perkembangan baharu dalam pentadbiran dan penyeragaman nama geografi. Selain itu, sesi ini juga membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan. Sesi ini mengkaji tema "Mengukuhkan Hubungan, Rangkaian dalam Penyeragaman Nama Geografi untuk Pembangunan Mampan dan Pemulihan Pandemik".
Acara Sesi Ke-3 UNGEGN kali ini dihadiri oleh seorang wakil dari Malaysia iaitu YBrs. Dr. Sr Ahmad Sanusi bin Che Cob, Pengarah Ukur Bahagian Ukur Geodetik, untuk membentangkan laporan kemajuan aktiviti-aktiviti nama geografi di Malaysia. Sesi kali ini turut membincangkan beberapa topik utama seperti nama tempat yang menyokong pembangunan mampan, pengurusan dan pewartaan data toponimi,sistem romanisasi, pembinaan kapasiti dalam toponimi dan nama geografi sebagai warisan budaya. Terdapat juga beberapa siri acara sampingan yang terdiri daripada mesyuarat kumpulan kerja dan bahagian, bengkel khas dan sesi orientasi untuk ahli baharu yang diadakan sebelum dan semasa sesi. Sesi Ke-4 UNGEGN dijangka akan diadakan di New York, Amerika Syarikat pada tahun 2025.