MAJLIS MENANDATANGNI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA KERAJAAN MALAYSIA (DIWAKILI OLEH JUPEM, KeTSA) DENGAN SIRIM BERHAD BERKAITAN PERKONGSIAN MAKLUMAT GEOSPATIAL
SHAH ALAM, 8 Oktober - Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIRIM Berhad bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah diadakan bertempat di Auditorium Dato’ Yahya Ahmad, SIRIM yang disempurnakan bersama oleh YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBrs. Puan Nur Fadhilah binti Muhammad, Ketua Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd. yang mewakili SIRIM Berhad. Manakala, pihak JUPEM pula diwakili oleh YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia dan YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I. MoU ini disaksikan oleh YBhg. Academician Tan Sri Dr Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi SIRIM Berhad. Turut hadir dalam MoU ini adalah pegawai-pegawai SIRIM Berhad dan JUPEM.
Memorandum Persefahaman ini diadakan bertujuan menjalinkan kerjasama strategik melalui perkongsian maklumat geospatial supaya kecekapan pengurusan penggunaan maklumat geospatial, melalui piawai yang telah ditetapkan. Objektif bagi Memorandum Persefahaman ini adalah untuk mengadakan kerjasama dalam mengoperasi dan mempertingkatkan sistem aplikasi melalui maklumat geospatial dan maklumat SIRIM yang boleh dikongsi bersama melalui portal MyGeoserve dan SIRIM GIS Portal serta membangun, menggalak dan memperkukuhkan kerjasama atas suci hati, ekuiti dan untuk manfaat bersama.