Tarikh diterbitkan : 25 Aug 2022

MENDEPOSIT TITIK_TITIK PANGKAL MALAYSIA KEPADA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

Malaysia telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai undang-undang Laut (KUUL) 1982 dan telah meraktifikasinya pada 14 Oktober 1996. Susulan itu, Malaysia mempunyai obligasi dan tanggungjawab untuk mendepositkan titik pangkal Malaysia kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bentuk senarai koordinat geografi berdasarkan peruntukkan Artikel 16 (2) KUUL 1982.

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selaku Pengerusi Kumpulan Kerja Garis Pangkal Negara dengan kerjasama Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (PHN, TLDM) telah melaksanakan kerja-kerja pengukuran titik pangkal di seluruh negara mulai tahun 1998 hingga 2005. Kerja pengukuran telah dilaksanakan berdasarkan kaedah geodetik dan ukuran hidrografi iaitu selaras dengan KUUL 1982 dan Manual On Technical Aspects of the United Nation Convention on the Law of the Sea 1982 (Manual on TALOS).

Bagi memenuhi obligasi dan tanggungjawab di bawah peruntukkan Artikel 16 (2) KUUL 1982, Malaysia telah mendepositkan Titik pangkal Negara pada 22 Julai 2022 kepada The Division for Ocean Affair and the Law of the Sea (DOALOS), PBB. Delegasi Malaysia adalah diketuai oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan ahlinya terdiri daripada Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri, Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Negara, wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Jabatan Mineral Geosains.

Malaysia telah mendepositkan kesemua 158 Titik Pangkal Negara yang terdiri daripada 95 titik pangkal di Semenanjung Malaysia, 16 titik pangkal di Sarawak dan 47 titik pangkal di Sabah. Titik –Titik Pangkal Malaysia ini telah disemak dan diteliti bagi memastikan ianya tidak menjejaskan kepentingan negara dalam rundingan perbatasan sempadan maritim dengan negara jiran serta tidak mengurangkan tuntutan zon maritim Malaysia. Ia juga membuktikan komitmen negara dalam memastikan isu-isu berhubung keselamatan dan kedaulatan negara adalah berpandukan kepada pematuhan terhadap perundangan dan amalan antarabangsa.

Terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kejayaan ini.