Tarikh diterbitkan : 03 Oct 2022

MESYUARAT KUMPULAN KERJA GEODETIK BILANGAN 1 TAHUN 2022 | 20 SEPTEMBER 2022

MESYUARAT KUMPULAN KERJA GEODETIK BILANGAN 1 TAHUN 2022 | 20 SEPTEMBER 2022

Mesyuarat Kumpulan Kerja Geodetik (KKG) Bil. 1/2022 yang dipengerusikan oleh YBrs. Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, Pengarah Ukur Bahagian Geodetik (BUG), JUPEM telah diadakan secara atas talian bersama semua ahli KKG dan secara bersemuka dengan pegawai-pegawai dari Bahagian Ukur Geodetik.

KKG telah ditubuhkan pada tahun 1999 khas untuk Negeri Sabah dan Sarawak melalui satu resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara (JPDSN) dan kemudian dikembangkan untuk merangkumi keseluruhan negara pada tahun 2002.

Mesyuarat KKG yang pertama telah diadakan pada 11 Februari 1999 dan objektif KKG ini adalah seperti berikut:

i. Mengkaji segala aktiviti-aktiviti geodetik untuk Malaysia;

ii. Menyelaras semua aktiviti geodetik antara agensi-agensi kerajaan;

iii. Mengkaji dan menubuh infrastruktur geodetik untuk Malaysia; dan

iv. Merancang aktiviti-aktiviti geodetik untuk masa kini dan masa depan.

Mesyuarat KKG Bil. 1/2022 ini telah dihadiri oleh ahli-ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai Institusi Pengajian seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM),  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan juga Politeknik Ungku Omar (PUO) yang sebahagian besarnya telah dilantik sebagai pengerusi Kumpulan-kumpulan Projek KKG.

KKG telah dipecahkan kepada 6 Kumpulan Projek yang telah ditetapkan untuk membuat kajian dan melakukan aktiviti berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

i. Reference Frame;

ii. Gravity Field and Geoid Modelling;

iii. Regional Geodynamic;

iv. Positioning and Application;

v. Continuously Operating Reference Station (CORS); dan

vi. Marine Geodesy.

Selain itu, mesyuarat ini juga turut dihadiri beberapa wakil agensi kerajaan dan swasta yang giat melakukan kerja-kerja ukur geodetik seperti Jabatan Metrologi Malaya (MetMalaysia), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pusat Hidrografi Negara (PHN) dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai ahli Kumpupan Projek.

Kehadiran wakil-wakil agensi tersebut turut membantu dalam menyumbangkan idea sekaligus dapat memantapkan pengetahuan serta perkongsian ilmu berkaitan ukur geodetik di Malaysia melalui aktiviti Kumpulan Projek KKG masing-masing.

Pembentangan laporan dan kajian terkini serta pelbagai aktiviti Kumpulan Projek telah dibentangkan oleh Pengerusi Kumpulan Projek masing-masing dalam mesyuarat ini. Selain itu, pencalonan dan perlantikan keahlian baharu juga telah diketengahkan di dalam mesyuarat ini bagi menggantikan ahli-ahli kumpulan yang bersara seterusnya menyambung legasi aktiviti ukur geodetik di negara ini supaya berterusan di masa akan datang.