Tarikh diterbitkan : 07 Oct 2022

LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA KE JUPEM PULAU PINANG | 29 SEPTEMBER 2022

LAWATAN KERJA KETUA PENGARAH UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA KE JUPEM PULAU PINANG | 29 SEPTEMBER 2022

GEORGETOWN, 29 September - Lawatan Kerja YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia ke JUPEM Pulau Pinang telah diadakan pada pagi ini di Bangunan KOMTAR dengan disambut mesra oleh Sr Zulkafli bin Chihat, Pengarah Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang bersama-sama dengan pegawai dan kakitangan JUPEM Pulau Pinang yang lain. Turut hadir pada sesi lawatan kerja ini ialah YBrs. Sr Hazri bin Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I, YBrs. Sr Looi Kam Seng, Pengarah Ukur Seksyen (Perundangan Kadaster) - SME dan Sr Mohamad Azmar bin Che Mat, Pengarah Ukur Bahagian (Perancangan dan Korporat).

Lawatan kerja YBrs. KPUP ini antaranya adalah untuk melihat secara lebih dekat berkaitan pengurusan, pencapaian SKT dan aktiviti-aktiviti di JUPEM Pulau Pinang.

Dikesempatan yang sama juga, pihak JUPEM Pulau Pinang turut membentangkan 4 Laporan Penghasilan Cadangan Baharu/Penambahbaikan Berkaitan Bidang Ukur, Pemetaan dan Geospatial (KIK3) kepada delegasi KPUP tersebut. Antara projek yang telah dibentangkan adalah Aplikasi Sistem Maklumat Geografi (Gis) Dalam Pemetaan Zon Petugas Pilihan Raya Umum Ke-15 (Pru-15) Parlimen P050 Jelutong : Fasa I – Dun N30 Sungai Pinang oleh Sr Noraidah Binti Keling, Pembentangan Penentuan Kawasan Mengundi Bagi Pengundi Automatik Secara Kaedah GIS oleh Sr Mohd Redzuan Abd Rahim dan Sr Wan Faizal Bin Wan Mohamed.

Seterusnya adalah pembentangan Sistem Maklumat Geospatial Bagi Perancangan Awal Pendaftaran Permohonan Ukur (Pu) Dan Tinjauan Kerja Ukur Lapangan oleh Sr Adam Musli B Che Sulaiman dan pembentangan Mengenalpasti Nombor Pelan Akui Bangunan (PA(B)) Menggunakan Alamat Pemilik Rumah Skim Berstrata oleh Sr Nur Liyana binti Othman. YBrs. KPUP amat berpuas hati dengan pembentangan laporan terbabit dan telah mengesyorkan agar projek-projek tersebut diteruskan dan mendapatkan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan.

Selain itu, YBrs. KPUP turut menyampaikan ucapan dan amanat beliau kepada pegawai-pegawai JUPEM Pulau Pinang dengan menekankan beberapa fokus utama pihak Pengurusan Jabatan dalam memastikan para pegawai sentiasa melaksanakan tugas dengan cekap dan cemerlang. YBrs. KPUP juga telah menyatakan bahawa salah satu fokus utama tersebut adalah elemen penambahbaikan dalam setiap perkara terutamanya melibatkan prosedur kerja dan juga aplikasi Geospatial agar ianya dapat memberi manfaat kepada warga kerja JUPEM dan juga kepada orang awam di luar sana.

Mengakhiri sesi lawatan kerja tersebut, pihak JUPEM Pulau Pinang telah menyampaikan cenderahati kepada YBrs. KPUP dan delegasi sebagai tanda kenang-kenangan.