Tarikh diterbitkan : 28 Oct 2022

MAPPING CONFERENCE 2022: MAJLIS PERASMIAN | 11 OKTOBER 2022

MAPPING CONFERENCE 2022: MAJLIS PERASMIAN | 11 OKTOBER 2022

Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),  Lembaga Juruukur Tanah (LJT) serta Asean Flag dengan julung kalinya telah menganjurkan satu sesi seminar iaitu Mapping Conference 2022 pada 11 dan 12 Oktober 2022 bertempat di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Juruukur Tanah dengan diiringi oleh Sr Dr. Haji Noordin bin Abdullah, Presiden PEJUTA.

Dengan bertemakan "Mapping The Nation", seminar ini telah menarik minat hampir 300 orang peserta dari kalangan Juruukur, Jurutera, Perancang Bandar, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi kerajaan serta para siswazah untuk hadir ke sesi seminar yang berlangsung selama 2 hari tersebut. Sesi seminar pada kali ini memberi fokus kepada aktiviti Pemetaan dan geospatial seperti Spatial Information Management, Spatial Data Infrastructure, Pemetaan Utiliti, Teknologi Unmanned Aerial System (UAS), Hidrografi, 3D Modelling dan lain-lain lagi.

Sesi seminar ini juga telah mendapat sambutan yang menggalakkan dimana wakil-wakil dari negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand, Brunei, Vietnam dan Singapura turut sama menghadiri seminar ini.

Di dalam sesi yang sama, YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk Overview: Pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen (JTB) 1958. Antara perkara utama yang disampaikan oleh YBrs. KPUP ialah pindaan akta ini dilaksanakan dengan bertujuan untuk meminda beberapa akta dan perkara yang melibatkan kaedah dan aktiviti-aktiviti pengukuran, Pemetaan dan Geospatial seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Selain itu juga, beliau turut menyeru agar Juruukur Tanah Bertauliah (JTB) ini dapat memberikan fokus untuk mengembangkan skop dan tugas Juruukur berlandaskan kepada teknologi pengukuran yang baharu. Turut sama menyampaikan sesi ucaptama adalah Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar bin Untong, Ketua Setiausaha Negeri Sabah.

Seminar pada kali ini turut disertai oleh hampir 20 buah syarikat Ukur, Pemetaan dan Geospatial bagi sesi pameran yang turut berlangsung selama 2 hari, dimana JUPEM jua turut bersama dalam pameran berkenaan.

Mapping Conference 2022 "Mapping The Nation"