Tarikh diterbitkan : 28 Oct 2022

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN | 12 OKTOBER 2022

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN | 12 OKTOBER 2022

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada 12 Oktober 2022 (Rabu) bersamaan 15 Rabiul Awal 1444H ini telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran”. Kontinjen JUPEM dengan penyertaan seramai 30 orang diketuai oleh Ketua Kontinjen En Khairul Zaid bin Zulkafli dari Bahagian Perancangan Korporat, JUPEM . Kontinjen mengenakan pakaian kebangsaan yang sedondon segak bergaya hadir dengan penuh bersemangat bagi memeriahkan majlis serta menunjukkan rasa kecintaan kepada Rasulallah S.A.W. Majlis dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan perarakan Maulidur Rasul dari kontinjen agensi kerajaan dan swasta Wilayah Persekutuan yang melibatkan 22 kontijen.

Majlis diserikan dengan Ucaptama dan Perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah yang disampaikan oleh YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tokoh Utama Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H diberikan kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Manakala Anugerah Khas individu diberikan kepada Encik Arbaani bin Talib, pekerja am pembersihan syarikat pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd.

Anugerah Khas Kategori Organisasi pula diberikan kepada Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar Kuala Lumpur (Kategori Masjid), Surau Putra Al-Amin Putrajaya (Kategori Surau/Surau Jumaat), Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha Labuan (Kategori Sekolah Menengah Kebangsaan), Sekolah Rendah Agama Salahuddin Al-Ayubi Kuala Lumpur (Kategori Sekolah Rendah Agama), dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Kontinjen terbaik bagi acara perarakan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H, tempat pertama dimenangi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman, tempat kedua dimenangi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tempat ketiga dimenangi oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

JUPEM mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur khususnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atas penganjuran sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah bagi tahun 1444 bersamaan 2022.