Tarikh diterbitkan : 23 Nov 2022

APAKAH IA ‘STAPS’: STESEN TOLOK AIR PASANG SURUT

APAKAH IA ‘STAPS’: STESEN TOLOK AIR PASANG SURUT

Stesen Tolok Air Pasang Surut atau dikenali sebagai STAPS, adalah salah satu infrastruktur yang dibina oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Tujuan asal STAPS ini dibina adalah untuk menentukan nilai-nilai Aras Laut Min di perairan Malaysia dan seterusnya digunakan bersama rangkaian ukuran aras jitu bagi menetapkan Datum Tegak untuk rujukan sistem ketinggian yang kini dikenali sebagai Datuk Tegak Geodetik Semanjung Malaysia (DTGSM).

Terdapat 21 buah stesen tolok air pasang surut di seluruh Malaysia di mana dua belas (12) stesen terletak di Semenanjung Malaysia, lima (5) stesen di Sabah, tiga (3) stesen di Sarawak dan satu (1) di Wilayah Persekutuan Labuan. Manakala stesen STAPS yang pertama dibina adalah di Pelabuhan Klang, Selangor.

Namun kini, stesen-stesen ini juga berfungsi untuk mendapatkan nilai ketinggian terkini secara real time serta merekod ketinggian paras air laut di seluruh negara ini.

Pada 15 November 2022 yang lalu, satu lawatan teknikal ke Stesen Tolok Air Pasang Surut Telemetri Negara di Pelabuhan Klang telah diadakan oleh Seksyen Infrastruktur Rujukan Tegak, Bahagian Ukur Geodetik (BUG), JUPEM. Lawatan ini dibuat bagi memastikan ketersediaan stesen ini untuk memperolehi data dalam menghadapi musim tengkujuh ketika ini.