Tarikh diterbitkan : 09 Jan 2023

SESI PRE-COUNCIL KERTAS MAKLUMAN HASIL PENANDAAN DAN PENGUKURAN SEMPADAN DARAT DAN MARITIM ANTARA NEGERI KEDAH-NEGERI PERLIS | 5 JANUARI 2023

SESI PRE-COUNCIL KERTAS MAKLUMAN HASIL PENANDAAN DAN PENGUKURAN SEMPADAN DARAT DAN MARITIM ANTARA NEGERI KEDAH-NEGERI PERLIS |  5 JANUARI 2023

Pada 5 Januari 2023 (Khamis), bertempat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, satu sesi 𝘗𝘳𝘦-𝘊𝘰𝘶𝘯𝘤𝘪𝘭 Kertas Makluman Hasil Penandaan dan Pengukuran Sempadan Darat dan Maritim antara Negeri Kedah - Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis selaku Pengerusi Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri (JPPSBN) bagi Negeri Perlis telah diadakan bagi tujuan mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai hasil penandaan dan pengukuran sempadan darat dan maritim antara Negeri Perlis dan Negeri Kedah sebelum diangkat bagi kelulusan MMKN Negeri Perlis. Sesi 𝘗𝘳𝘦-𝘊𝘰𝘶𝘯𝘤𝘪𝘭 ini turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Perlis, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis selaku Pengerusi Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) Sempadan Bersama Negeri bagi Negeri Perlis, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Perlis, Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perlis serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Ehwal Persempadanan, Ibu Pejabat JUPEM dan JUPEM Perlis.

Dalam sesi 𝘗𝘳𝘦-𝘊𝘰𝘶𝘯𝘤𝘪𝘭 ini, Pengarah Ukur Seksyen (Sempadan Negeri dan Penyelarasan), Bahagian Ehwal Persempadanan, JUPEM telah menyampaikan taklimat persempadanan darat dan maritim antara Negeri Perlis dan Negeri Kedah yang merangkumi status, gerak kerja, 𝘸𝘢𝘺 𝘧𝘰𝘳𝘸𝘢𝘳𝘥 serta syor bagi memastikan urusan untuk memuktamadkan sempadan antara kedua-dua Negeri berjaya direalisasikan dalam jangka masa terdekat sepertimana yang dirancang bagi tahun 2023.

Jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak Kerajaan Negeri Perlis di atas kerjasama dan komitmen dalam urusan persempadanan negeri. Pihak JUPEM akan terus giat menjalankan 𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯𝘨𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵 serta memberikan kerjasama menyampaikan penerangan dan taklimat kepada pihak Negeri dalam usaha memuktamadkan sempadan antara Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia.