Tarikh diterbitkan : 18 Jan 2023

MESYUARAT PASUKAN KERJA TEKNIKAL PELANTAR BENUA 1/2023 | 10 JANUARI 2023

MESYUARAT PASUKAN KERJA TEKNIKAL PELANTAR BENUA 1/2023 | 10 JANUARI 2023

10 JANUARI 2023 | Artikel 76, Konvensyen Undang-Undang Laut (KUUL), Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memperuntukkan negara-negara berpantai yang berhasrat untuk menetapkan perbatasan luar pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal laut wilayahnya dikehendaki supaya mengemukakan data saintifik dan maklumat teknikal kepada Suruhanjaya Mengenai Had-Had Pelantar Benua (CLCS – Commission on the Limits of the Continental Shelf) selewat-lewatnya pada 13 Mei 2009. Selaras dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pelantar Benua yang telah diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri pada 25 Ogos 2001 telah menubuhkan Kumpulan Kerja Pelantar Benua yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, JUPEM sebagai lead agency bagi mengumpul, menganalisa, dan merangka penyediaan data- data saintifik dan teknikal dokumen submission kepada CLCS.

Susulan daripada itu, Pasukan Kerja Teknikal Pelantar Benua yang dipengerusikan oleh Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan) telah ditubuhkan pada 10 Januari 2002 bagi mengurus aspek- aspek operasi bagi menganalisa, penyediaan data-data dan dokumen yang diperlukan. Penyediaan dokumen Joint Submission oleh Malaysia dan Republik Vietnam bermula pada tahun 2007 sehinggalah 2009 meliputi gerak kerja kajian teknikal, aspek perundangan, pengukuran dan analisa data batimetri, seismik, graviti, geologi, geodetik serta pembangunan pangkalan data.

Dokumen Malaysia and The Socialist Republic of Vietnam Joint Submission (MVJS) to Commission on the Limits of the Continental Shelf Pursuant to Paragraph (8) of Article 76 of the United Nations Conventions on the Law of the Sea 1982 in Respects of the Southern Part of the South China Sea telah berjaya dikemukakan pada 6 Mei 2009 seminggu sebelum tarikh tamat yang ditetapkan CLCS. Pembentangan MVJS kepada CLCS telah dibentangkan pada 27 Ogos 2009 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York. Pertimbangan ke atas MVJS telah ditangguhkan buat masa ini oleh pihak CLCS dengan mengambilkira perkembangan semasa. Dokumen MVJS boleh dirujuk di https://www.un.org/depts/los/clcs_new/submissions_files/submission_mysvnm_33_2009.htm.

Susulan daripada itu, Mesyuarat Pasukan Kerja Teknikal Pelantar Benua Bil.1/2023 diadakan di JUPEM dan dipengerusikan oleh Sr Powzy bin Mohd Som, Timbalan Pengarah Ukur Bahagian (Ehwal Persempadanan) dihadiri secara bersemuka oleh semua ahli Pasukan Kerja Teknikal Pelantar Benua yang terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains, Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia dan MPM PETRONAS, manakala wakil-wakil daripada Jabatan Peguam Negara hadir secara maya. Pasukan Kerja Teknikal Pelantar Benua sangat berbesar hati menerima kehadiran YBrs. Dr. Mazlan bin Madon mantan ahli CLCS dan juga merupakan Penasihat Projek Pelantar Benua Malaysia sejak Julai 2017 pada Mesyuarat kali ini.

Antara intipati mesyuarat adalah membincangkan hala tuju dan aktiviti-aktiviti Projek Pelantar Benua Malaysia Fasa I bagi membuat persediaan menghadapi Mesyuarat Teknikal bersama pihak Vietnam kelak serta perkongsian pengalaman dan pandangan oleh Dr. Mazlan bin Madon mengenai Projek Pelantar Benua Malaysia berdasarkan pengalaman beliau dalam mengendalikan permohonan tuntutan had pelantar benua oleh negara-negara berpantai semasa menjadi ahli CLCS.

Pihak JUPEM mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama daripada semua ahli pasukan Projek Pelantar Benua Malaysia yang terlibat dalam menjayakan kesinambungan projek berkepentingan tinggi demi kepentingan dan kedaulatan Negara.