Tarikh diterbitkan : 16 Feb 2023

MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA TAHUN 2023| 10 FEBRUARI 2023

MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA TAHUN 2023| 10 FEBRUARI 2023

Kuala Lumpur, 10 Februari - YBrs. Sr Mohammad Zaki Bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia (KPUP) telah menyampaikan amanat sempena Majlis Amanat Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Ukur, Ibu Pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Majlis telah dimulai dengan Nyanyian lagu Negaraku, Lagu Perkhidmatan Awam, Lagu JUPEM serta Bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam. Seterusnya, YBrs. Tuan KPUP telah menyampaikan amanat beliau. Antara perkara yang ditekankan adalah warga JUPEM perlu meneruskan komitmen dan kebertanggungjawaban untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam membangunkan Malaysia MADANI.

Warga JUPEM juga perlulah sentiasa bersedia menyahut cabaran membuat perubahan serta membuat penambahbaikan secara berterusan agar terlahirnya pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul selain membudayakan budaya problem-solving dan mengelakkan membuat keputusan mengikut gerak hati supaya kualiti diri serta penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dapat dipertingkatkan.

YBrs. Tuan KPUP juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga JUPEM termasuk pegawai-pegawai Kader yang berkhidmat di Agensi/Jabatan dan Kementerian lain atas sumbangan dan pencapaian sepanjang tahun 2022.

Majlis amanat ini melibatkan kehadiran seramai 250 orang secara fizikal yang terdiri daripada Pengarah-Pengarah Ukur Bahagian, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri serta warga JUPEM. Amanat turut disiarkan secara dalam talian menerusi saluran Live di Facebook JUPEM.