Tarikh diterbitkan : 23 Feb 2023

LATIHAN INTENSIF PENGOPERASIAN ALAT TELESKOP DAN ASTROFOTOGRAPHY JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA | 19 FEBRUARI 2023

LATIHAN INTENSIF PENGOPERASIAN ALAT TELESKOP DAN ASTROFOTOGRAPHY JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA | 19 FEBRUARI 2023

JUPEM di bawah seliaan Bahagian Ukur Geodetik (BUG) telah menganjurkan satu sesi latihan berpusat melibatkan pencerap-pencerap hilal JUPEM yang bertugas di balai cerap rasmi seluruh negara. Latihan yang dianjurkan ini adalah di bawah skop Program Penyesuaian JUPEM bagi Kontrak JUPEM T14/2022 - Perolehan Menaik Taraf Astronomy Information Management System (AIMS) yang membekalkan 17 unit teleskop jenis refractor kepada semua JUPEM Negeri, Bahagian Ukur Geodetik, Bahagian Pemetaan Topografi Sabah dan Sarawak.

Program ini telah dirasmikan dengan jayanya pada 19 Februari 2023 disempurnakan oleh YBrs. Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, Pengarah Ukur Bahagian (Ukur Geodetik). Program selama empat (4) hari ini adalah merupakan latihan intensif berfokus kepada amali penggunaan alat teleskop bagi cerapan hilal dan objek langit malam yang telah dibimbing oleh Sdr. Shahrin Ahmad yang juga dikenali sebagai shahgazer merupakan pengasas web falakonline.com. Inisiatif ini juga antara lain adalah bertujuan mempersiapkan pencerap bagi menjalani cerapan hilal rasmi Ramadhan 1444H pada 29 Syaaban 1444H bersamaan 22 Mac 2023 (Rabu).

Kemuncak kepada sesi latihan ini, semua peserta telah melaksanakan cerapan hilal Syaaban 1444H pada 21 Februari 2023 di pantai Port Dickson berhampiran dengan lokasi latihan tersebut. Semua peserta telah berjaya melihat dan merakam imej hilal seawal jam 7.15 minit petang. Selain itu juga pendedahan kepada teknik astrophotografi telah dikongsikan oleh Sdr Shahrin untuk membolehkan peserta merekod imej matahari, planet, bintang dan nebula.