Tarikh diterbitkan : 22 Mar 2023

EKSPLORASI LANGIT MALAM @ GSD 2023 | 17 MAC 2023

EKSPLORASI LANGIT MALAM @ GSD 2023 | 17 MAC 2023

Program Ekplorasi Langit Malam Sempena Sambutan Global Surveyors’ Day (GSD 2023 Malaysia) anjuran JUPEM dengan kerjasama Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) dan Surau Al-Ikhwan Taman Samudera, Gombak, Selangor.

JUPEM diurussetiakan oleh Bahagian Ukur Geodetik diketuai oleh YBrs, Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, telah menganjurkan satu program explorasi langit malam bersama ahli kariah Surau Al-Ikhwan, Taman Samudera, Gombak Selangor. Anggaran seramai 300 orang telah hadir ke program tersebut dari kalangan ahli kariah, masyarakat sekeliling, komuniti ukur dan pegawai-pegawai JUPEM telah hadir memeriahkan program tersebut. Antara individu penting yang turut hadir adalah YB Senator Sr Haji Mohd Apandi bin Mohamad, Ahli Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT).

Beberapa aktiviti utama telah dilaksanakan semasa program tersebut iaitu ceramah falak yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed mantan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia serta berpengalaman tinggi dalam aktiviti falak di negara ini. Beliau telah berkongsi dengan masyarakat dan hadirin berkenaan bagaimana tarikh-tarikh awal bulan hijri ditentukan di negara ini terutamanya melibatkan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Bahagian Ukur Geodetik juga telah membuka satu kaunter sijil lahir hijri untuk memberi perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat bagi menghitung tarikh lahir hijri masing-masing. Masyarakat yang hadir telah memberi reaksi yang sangat gembira setelah mengetahui tarikh lahir masinng-masing mengikut hitungan kalender hijri serta mendapat sekeping sijil lahir yang dicetak untuk dibawa pulang.

Kemuncak program Explorasi Langit Malam ini adalah aktiviti mencerap objek angkasa di langit. Sebanyak enam buah teleskop milik Bahagian Ukur Geodetik, JUPEM WPKL/Putrajaya, Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung serta JUPEM Negeri Sembilan telah dipasang untuk memberi pengalaman kepada masyarakat melihat planet dan bintang melalui teleskop dengan lebih jelas.

Program yang telah bermula dengan solat maghrib berjemaah telah berpenghujung dengan cerapan langit malam sekitar jam 11.30 malam.