Tarikh diterbitkan : 22 Mar 2023

GSD 2023 MALAYSIA : PROGRAM “SURVEYORS SOCIAL RESPONSIBILITY” (SSR) @ GSD 2023

GSD 2023 MALAYSIA : PROGRAM “SURVEYORS SOCIAL RESPONSIBILITY” (SSR) @ GSD 2023

Program “Surveyors Social Responsibility” (SSR) sempena Sambutan Global Surveyors’ Day (GSD 2023 Malaysia) anjuran JUPEM dengan kerjasama Lembaga Juruukur Tanah (LJT), PUSPANITA JUPEM serta RISM telah diadakan pada                 21 Mac 2023 bertempat di Dewan Ukur JUPEM. Program ini telah dikendalikan oleh Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan (BDPP) selaku Jawatankuasa SSR GSD 2023 yang di ketuai oleh Sr Saiful Wazlan bin Wahab, Pengarah Ukur Bahagian (Dasar dan Penyelarasan Pemetaan).

Program SSR sempena GSD 2023 telah memilih Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, Kuala Lumpur sebagai penerima sumbangan. SBJK ialah sebuah sekolah yang terletak di Chow Kit di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberi akses pendidikan secara formal kepada anak-anak jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur. SBJK menerima murid warganegara Malaysia dalam peringkat persekolahan daripada prasekolah hingga menengah atas (berumur 5 hingga 17 tahun).  Kategori kanak-kanak yang diterima masuk ke SBJK adalah seperti kanak-kanak jalanan, kanak-kanak terpinggir, kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri dan kanak-kanak yatim piatu yang tinggal di bawah pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar. 

Seramai 60 orang anak-anak SBJK berumur 7 hingga 17 tahun serta 8 orang Guru Pengiring telah menyertai program ini. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan semasa program ini dijalankan seperti sesi lawatan ke Galeri JUPEM, demonstrasi peralatan ukur seperti Total Station oleh JUPEM WP Kuala Lumpur/Putrajaya, demonstrasi Teleskop dan semak tarikh kelahiran dalam tahun Islam oleh Bahagian Ukur Geodetik (BUG) dan demonstrasi Unmanned Aerial System (UAS) oleh Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung (BPTSM). Disamping itu, pertandingan serta kuiz juga diadakan bagi memberi pendedahan mengenai profesion ukur kepada anak-anak SBJK. Pertandingan yang diadakan adalah seperti Map Puzzle, Wheel of Atlas oleh Bahagian Kartografi dan GIS (BKGIS), Teka Jarak dan Kuiz Ukur. Anak-anak SBJK dilihat amat teruja dan memberi reaksi yang sangat positif sepanjang program ini dijalankan. 

Kemuncak program adalah dengan kehadiran YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia yang telah berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai kepada semua anak-anak SBJK. Turut diadakan juga penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan dan kuiz yang telah diadakan. YBrs. KPUP juga telah menyampaikan mock up cek sumbangan kepada Tabung Kebajikan SBJK sebanyak RM1,500.00 berserta plak JUPEM kepada Puan Hasnita binti Hasmat, Penolong Kanan Kokurikulum, SBJK. Turut hadir adalah Sr Hazri bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah dan Pemetaan II, Sr Muhammad Salim bin Mohd Asari, Pengarah Ukur Bahagian (Kadaster), Sr Mohamad Azmar bin Che Mat, Pengarah Ukur Bahagian (Perancangan Korporat) dan Puan Yusmaniah binti Yusof, Pengerusi PUSPANITA JUPEM. Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban anak-anak SBJK dan supaya pada satu hari nanti ada anak-anak SBJK yang bakal terlibat di dalam profesion ukur ini. Jawatankuasa SSR mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemberi sumbangan terutamanya kepada LJT, RISM dan seluruh komuniti ukur.