Tarikh diterbitkan : 10 Apr 2023

MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL DASAR DAN ISU-ISU INSTITUSI (JTDII) | 4 APRIL 2023

MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL DASAR DAN ISU-ISU INSTITUSI (JTDII) | 4 APRIL 2023

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dasar dan Isu-Isu Institusi (JTDII) Bilangan 1 Tahun 2023 telah diadakan pada 4 April 2023 (Selasa) bermula pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Persidangan, Wisma JUPEM. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Sr Saiful Wazlan bin Wahab, Pengarah Ukur Bahagian Dasar dan Penyelarasan Pemetaan.

Mesyuarat ini dihadiri seramai 36 ahli mesyuarat yang terdiri daripada pelbagai agensi, jabatan dan institusi seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS), Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia (DOA), Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak, Pusat Geospatial Negara (PGN), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (MDIO), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Di antara isu-isu yang telah dibincangkan semasa mesyuarat tersebut adalah keperluan untuk pengemaskinian Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2007 mengenai Arahan Keselamatan Terhadap Dokumen Geospatial Terperingkat sejajar dengan perkembangan pesat teknologi penggunaan dron di Malaysia. Selain daripada itu, satu usul telah dikemukakan di dalam mesyuarat ini iaitu pemohonan pengecualian bayaran permit penerbangan dan penggambaran bagi aktiviti pemetaan yang memerlukan tindakan segera semasa berlakunya bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir serta pengecualian kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Mesyuarat turut diusulkan mengenai cadangan untuk melaksanakan proses pendaftaran bagi semua pemilik dron di Malaysia pada masa yang akan datang. Di samping itu juga, empat (4) pembentangan turut disampaikan oleh wakil daripada Bahagian Geospatial Pertahanan (JUPEM), JTUS, JTSS dan CAAM mengenai proses kelulusan permit penerbangan dan penggambaran udara. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.45 pagi.