Tarikh diterbitkan : 30 May 2023

MESYUARAT KE-25 JAWATANKUASA TEKNIKAL NAMA GEOGRAFI KEBANGSAAN (JTNGK) | 22 MEI 2023

MESYUARAT KE-25 JAWATANKUASA TEKNIKAL NAMA GEOGRAFI KEBANGSAAN (JTNGK) | 22 MEI 2023

Pada 22 Mei 2023, Mesyuarat Ke-25 Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi Kebangsaan (JTNGK) telah diadakan bertempat di Grand DarulMakmur Hotel, Kuantan, Pahang. JTNGK merupakan jawatankuasa teknikal tertinggi dalam struktur penentuan nama geografi nasional dan bersidang pada setiap tahun bagi melaporkan aktiviti-aktiviti teknikal di peringkat negeri dan kebangsaan serta membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan penentuan nama geografi. 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YBrs. Sr Wan Mohamad Darani bin Ab. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia I selaku Pengerusi JTNGK. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 37 orang ahli mesyuarat termasuk urus setia yang terdiri daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pusat Geospatial Negara (PGN), Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), PLANMalaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kerajaan Tempatan, wakil Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri-negeri di seluruh negara.

Terdapat tiga (3) pembentangan daripada kumpulan-kumpulan kerja telah disampaikan yang terdiri daripada Kumpulan Kerja Dasar dan Pengemaskinian Nama Geografi (KKDPNG), Kumpulan Kerja Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan (KKPDNG) dan Kumpulan Kerja Nama Pulau dan Entiti Geografi (KKNPEG). Pelbagai isu telah dibincangkan semasa mesyuarat ini berlangsung bagi mendapatkan resolusi untuk persetujuan bersama. Di antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah seperti berikut:-

1. Status penerbitan Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Edisi Ketiga (dwi bahasa);
2. Status salinan bercetak dokumen gazetir negeri yang belum selesai;
3. Penamaan pulau atau entiti yang tidak bernama dilaksanakan dengan segera;
4. KKNPEG sebagai lead agency bagi penamaan pulau tidak bernama luar pesisir dan dibantu oleh KKDPNG sebagai urus setia bersama;
5. Status pembangunan web gazetir dan penerbitan dokumen gazetir negeri;
6. Status pembangunan Pangkalan Data Nama Geografi (PDNG) Fasa III;
7. Memuktamadkan penerbitan Buku Senarai Nama Pulau dan Entiti Geografi (NPEG) 3 bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan & Buku Senarai Nama Pulau dan Entiti Geografi (NPEG) 4 bagi Sarawak;
8. Status penamaan fitur-fitur dasar laut di Malaysia; dan
9. Mencadangkan penerbitan buku penamaan fitur-fitur dasar laut seperti mana Buku NPEG.

Selain itu, usul dan cadangan dari ketiga-tiga kumpulan kerja telah dipersetujui oleh ahli mesyuarat untuk diangkat ke Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi (JKNG) yang dijangka akan diadakan pada Julai 2023 ini.