Tarikh diterbitkan : 26 Jun 2023

MESYUARAT KUMPULAN KERJA GEODETIK (KKG) BIL 1/2023 | 30 MEI 2023

MESYUARAT KUMPULAN KERJA GEODETIK (KKG) BIL 1/2023 | 30 MEI 2023

Kumpulan Kerja Geodetik (KKG) Bil. 1/2023 yang dipengerusikan oleh YBrs. Sr Dr. Ahmad Sanusi bin Che Cob, Pengarah Ukur Bahagian Geodetik (BUG), JUPEM telah diadakan secara hybrid bersama semua ahli KKG dan pegawai-pegawai dari Bahagian Ukur Geodetik.  

KKG telah ditubuhkan pada tahun 1999 khas untuk Negeri Sabah dan Sarawak melalui satu resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara (JPDSN) dan kemudian dikembangkan untuk merangkumi keseluruhan negara pada tahun 2002. 
 
Mesyuarat KKG yang pertama telah diadakan pada 11 Februari 1999 dengan objektif KKG ini adalah seperti berikut: 
      i. Mengkaji segala aktiviti-aktiviti geodetik untuk Malaysia; 
     ii. Menyelaras semua aktiviti geodetik antara agensi-agensi kerajaan; 
    iii. Mengkaji dan menubuh infrastruktur geodetik untuk Malaysia; dan 
    iv. Merancang aktiviti-aktiviti geodetik untuk masa kini dan masa depan. 

Mesyuarat KKG Bil. 1/2023 ini telah dihadiri oleh ahli-ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai institusi pengajian seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan juga Politeknik Ungku Omar (PUO) yang sebahagian besarnya mengetuai Kumpulan-kumpulan Projek KKG. Selain itu, mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh beberapa wakil agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Metrologi Malaya (MetMalaysia), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pusat Hidrografi Negara (PHN) dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. 

Kehadiran wakil-wakil agensi tersebut turut membantu dalam menyumbangkan idea sekaligus dapat memantapkan pengetahuan serta perkongsian ilmu berkaitan ukur geodetik di Malaysia melalui aktiviti Kumpulan Projek KKG masing-masing.  

KKG telah dipecahkan kepada 6 Kumpulan Projek yang telah ditetapkan untuk membuat kajian dan melakukan aktiviti berdasarkan kepada perkara-perkara berikut: 
    i. Reference Frame; 
   ii. Gravity Field and Geoid Modelling; 
  iii. Regional Geodynamic; 
   iv. Positioning and Application; 
   v. Continuously Operating Reference Station (CORS); dan 
  vi. Marine Geodesy. 

Laporan aktiviti Kumpulan Projek telah dibentangkan oleh Pengerusi Kumpulan Projek masing-masing mencakupi kajian-kajian terkini dalam bidang geodesi yang boleh dimanfaatkan oleh agensi awam dan swasta serta orang awam terutama dari segi kesan perubahan iklim dan kenaikan aras laut.  

Selain itu, pencalonan dan perlantikan keahlian baharu juga telah diketengahkan di dalam mesyuarat ini bagi menggantikan ahli-ahli kumpulan yang bersara bagi meneruskan kesinambungan aktiviti ukur geodetik di negara ini.