Tarikh diterbitkan : 09 Aug 2023

JUPEM @ MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H/2023M | 19 JULAI 2023

JUPEM @ MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H/2023M | 19 JULAI 2023

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Majlis diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut hadir YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri serta lain-lain kenamaan.

Kemuncak Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2023M adalah penyampaian Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong dan diikuti Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta 6,000 tetamu terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.

Kontinjen JUPEM hadir dengan penyertaan seramai 50 orang diketuai oleh Sr Wan Mohamad Darani bin Ab.Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I, manakala kontinjen JUPEM diuruskan oleh En Khairul Zaid bin Zulkafli dari Bahagian Perancangan Korporat, JUPEM. Kontinjen mengenakan pakaian kebangsaan yang sedondon dan tarikh 1 Hijrah 1445 dijadikan sebagai titik tolak meningkatkan azam dan usaha, melakukan pembukaan minda, menyalakan semangat peralihan dan menyemarakkan semangat perubahan.

JUPEM mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas penganjuran Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M.