Tarikh diterbitkan : 09 Aug 2023

MESYUARAT JWG – OBP 12 DAN IMT – 49 DI BANDUNG, JAWA BARAT INDONESIA | 23-28 JULAI 2023

MESYUARAT JWG – OBP 12 DAN IMT – 49 DI BANDUNG, JAWA BARAT INDONESIA | 23-28 JULAI 2023

Mesyuarat JWG – OBP 12 dan IMT – 49 ini telah diadakan secara 𝑏𝑎𝑐𝑘 𝑡𝑜 𝑏𝑎𝑐𝑘 di Bandung, Jawa Barat, Indonesia yang dipengerusikan secara bersama oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Laksamana Pertama TNI Dr. Sugeng Suryanto, Direktur Wilayah Pertahanan, Kementerian Pertahanan Republik Indonesia. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia sebagai Pengerusi JWG-OBP dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Penandaan dan Pengukuran Sempadan Antarabangsa Malaysia - Indonesia berikutan beliau akan bersara secara paksa mulai 1 Ogos 2023.
Mesyuarat ini juga dihadiri oleh delegasi-delegasi Malaysia daripada setiap agensi yang terdiri daripada Bahagian Pemetaan Topografi Sabah, Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Pejabat Ketua Menteri Sabah, Kementerian Luar Negeri (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), MALAWAKIL di Jakarta dan Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta delegasi-delegasi dari setiap agensi dari Republik Indonesia. 
Untuk mesyuarat pertama iaitu JWG-OBP 12 yang diadakan pada kali ini adalah untuk menyemak, meneliti dan seterusnya menilai cadangan laporan kemajuan Pengukuran Topografi di lembangan paling selatan Sungai Sinapad yang dibentangkan oleh Pengarah Projek Bersama Indonesia (Indonesia) dan untuk kelulusan dan persetujuan bersama. 
Seterusnya untuk mesyuarat kedua iaitu IMT - 49 yang diadakan pada kali ini adalah untuk menyemak, meneliti dan seterusnya meluluskan Laporan Kemajuan Bersama yang dibentangkan oleh Pengarah Projek Bersama Indonesia (Indonesia) berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh Sektor Kalimantan Utara – Sabah dan Sektor Kalimantan Barat – Sarawak, bagi tempoh 27 Ogos 2019 sehingga 25 Julai 2023 serta perancangan bagi program ukur 2024. 
Pertemuan dua hala yang berlangsung kali ini diharap dapat mencapai halatuju persetujuan pemimpin kedua-dua negara yang mengarahkan agar isu sempadan ini diselesaikan dengan segera semasa pertemuan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dengan Yang Terhormat Bapak Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia yang telah diadakan pada 7 - 8 Jun 2023 di Kuala Lumpur.