Tarikh diterbitkan : 15 Dec 2023

MESYUARAT JAWATANKUASA BERSAMA TEKNIKAL PENENTUAN SEMPADAN MARITIM ANTARA NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS DENGAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN BIL.2/2023 | 27 NOVEMBER 2023

MESYUARAT JAWATANKUASA BERSAMA TEKNIKAL PENENTUAN SEMPADAN MARITIM ANTARA NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS DENGAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN BIL.2/2023 | 27 NOVEMBER 2023

Pada hari ini, bertempat di Tasik Villa International Resort, Port Dickson berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) Penentuan Sempadan Maritim antara Negeri Sembilan Darul Khusus dengan Negeri Selangor Darul Ehsan Bil. 2/2023. Mesyuarat JBT Bil. 2/2023 ini dipengerusikan oleh Puan Marlia binti Mohd Belia, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan serta Dr. Yusri bin Zakariah, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang mana kedua-duanya merupakan Pengerusi Bersama JBT Projek Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri Sembilan dan Negeri Selangor.

Mesyuarat JBT ini dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Sembilan yang diketuai oleh Sr Rosli bin Mohammed, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan serta JUPEM Selangor yang diwakili oleh Sr Anas Safkhan bin Yusri, Penolong Pengarah Ukur (Seksyen Kadaster Pelbagai). Manakala kehadiran pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat JUPEM yang diwakili oleh Bahagian Ehwal Persempadanan diketuai oleh Sr Muhammad Sufi bin Md. Shafie, Penolong Pengarah Ukur (Sempadan Negeri dan Penyelarasan) selaku pemudahcara rundingan dan memberi khidmat nasihat serta input teknikal berkaitan penentuan sempadan maritim di antara kedua-dua negeri. Ahli-ahli JBT iaitu Pihak Berkuasa Negeri di kedua-dua belah pihak seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah turut menghadiri Mesyuarat JBT ini.

Rundingan persempadanan maritim di antara Negeri Sembilan dengan Negeri Selangor ini merupakan pertemuan kali kedua oleh JBT dalam membincangkan perkara-perkara yang berkaitan penentuan sempadan maritim antara negeri dari muara Sungai Sepang mengunjur ke had laut wilayah negeri. Usaha penentuan sempadan maritim ini adalah lanjutan daripada kejayaan pemeteraian Perjanjian Sempadan Darat antara Negeri Sembilan dengan Negeri Selangor pada 4 Julai 2022 setahun yang lalu. 

Adalah menjadi harapan pihak JUPEM agar inisiatif, kerjasama erat dan bersepadu oleh kedua-dua negeri ini akan membawa kejayaan kepada agenda pembangunan negara yang sedang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan.