Tarikh diterbitkan : 27 Jul 2020

Konvoi JUPEM Riders ke Sempadan Maritim Negeri Melaka-Negeri Sembilan

JUPEM Riders telah menganjurkan konvoi motorsikal berkuasa tinggi ke lokasi jajaran muara Sungai Linggi sebagai Sempadan Maritim Negeri Melaka-Negeri Sembilan pada 11 Julai 2020. Biarpun sibuk dengan tugas hakiki, tidak menjadi halangan buat 14 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dari Bahagian dan JUPEM Negeri untuk turut serta dalam konvoi kali ini.
 
Jika sebelum ini JUPEM Riders yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari pelbagai gred dan jawatan ini telah berkonvoi ke Monumen Titik Tengah Semenanjung Malaysia yang terletak di, Lanchang, Pahang pada 12 Oktober 2019, kali ini JUPEM Riders telah melihat sendiri lokasi Sempadan Maritim Negeri Melaka-Negeri Sembilan yang juga merupakan Sempadan Maritim Antara Negeri yang pertama di Malaysia. 
 
Memorandum Persefahaman Perjanjian Sempadan Maritim Negeri Melaka-Negeri Sembilan telah ditandatangani oleh Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 15 Oktober 2019.
 
JUPEM Riders akan terus mencari entiti ukur dan pemetaan di seluruh Malaysia seperti ini untuk menambahkan ilmu dan menjadikan rekreasi seperti ini sebagai aktiviti yang bermanfaat pada masa akan datang.