Tarikh diterbitkan : 23 Sep 2020

Majlis Sambutan 135 Tahun JUPEM

KUALA LUMPUR, 22 September - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengadakan Majlis Sambutan 135 Tahun JUPEM pada hari ini bertempat di Prima Ballroom, Wisma Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT).

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar bin Hj. Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Zurinah binti Pawanteh, Ketua Setiausaha KeTSA dan YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamed, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Dengan tema “JUPEM Peneraju Inovasi Geospatial Negara”, JUPEM telah membuktikan kecemerlangan sepanjang 135 tahun penubuhannya. JUPEM merupakan antara agensi yang memainkan peranan yang besar dalam negara terutamanya melibatkan pengukuran hakmilik tanah dan strata, ukur geodetik, pemetaan, persempadanan darat dan maritim serta membantu dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Pada masa kini, produk JUPEM menjadi maklumat geospatial asas kepada segala bentuk perancangan pembangunan fizikal negara serta pelbagai pembangunan sosio ekonomi negara.

Sempena Sambutan 135 Tahun JUPEM, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga JUPEM yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh iltizam bagi terus memberikan perkhidmatan yang efisien kepada masyarakat.

Majlis sambutan ini diserikan dengan Executive Talk - Norma Baharu dalam Organisasi dan Profesionalisme yang disampaikan oleh YBrs. Cik Aireen binti Omar, AirAsia Group’s Presiden (RedBeat Ventures). Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada JUPEM bagi Cerapan Matahari Serentak Terbanyak di Malaysia di 184 lokasi, 184 pencerap dan melibatkan 184 fail ukur sebenar. YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli juga turut melancarkan Dokumen Peraturan Tetap Operasi (PTO) Penyampaian Maklumat Geospatial Bencana serta Buku 135 Tahun “JUPEM A Pictorial Journey”. Majlis Sambutan 135 Tahun ini telah disertai oleh 250 orang yang terdiri daripada KeTSA, JUPEM, LJT, PEJUTA dan RISM.