Tarikh diterbitkan : 27 Aug 2021

KUNJUNGAN HORMAT KETUA STAF MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA KE JUPEM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Zakaria bin Haji Yadi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, YBhg. Dato’ Sr Dr. Azhari bin Mohamad pada hari ini.

Semasa kunjungan hormat tersebut, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia berkesempatan mendemostrasikan ketepatan Jam Matahari kepada YBhg. Ketua Staf Markas ATM yang terletak di hadapan Bangunan Wisma JUPEM.

Kunjungan hormat pada kali ini bertujuan untuk melihat keupayaan Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) dalam menyalurkan perkhidmatan Geospatial Pertahanan kepada ATM di mana YBhg. Ketua Staf Markas ATM merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Geospatial Pertahanan. Kehadiran beliau turut disambut oleh Brig. Jen. Sr Dr. Mohd Zambri bin Mohamad Rabab, Pengarah Bahagian (Geospatial Pertahanan) bersama pegawai-pegawai BGSP di Bangunan CAMS, Ibu Pejabat JUPEM.

Semasa lawatan ke BGSP, YBhg. Ketua Staf Markas ATM telah diberi taklimat dan demonstrasi bagi melihat keupayaan pengurusan dan perkhidmatan geospatial pertahanan melalui platform Defence Geospatial Information Management (DGIM) di Pusat Operasi Geospatial Pertahanan. Perkhidmatan Web Geospatial Information System (GIS) BGSP ini diwujudkan bagi memberi perkongsian maklumat geospatial pertahanan kepada pengguna ATM dan agensi keselamatan yang menggunakan konsep sharing responsibilities.

Kunjungan ini diakhiri dengan sesi lawatan ke pameran Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) yang digunakan oleh BGSP bagi tujuan pemetaan.