Tarikh diterbitkan : 11 Nov 2021

Mesyuarat Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara (JPDSN) Ke-72

PUTRAJAYA, 10 Nov - Mesyuarat Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara (JPDSN) Ke-72 sedang berlangsung selama dua (2) hari mulai 10 hingga 11 November 2021 di Putrajaya. Mesyuarat pada hari ini dipengerusikan oleh YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I (JUPEM). Mesyuarat JPDSN ke-72 kali ini melibatkan kehadiran seramai 41 orang dari pelbagai jabatan, agensi dan institusi yang terdiri daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS), Jabatan Tanah Survei Sarawak (JTSS), Bahagian Staf Perisikan Pemetaan (BSPP), Kementah, Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Perhutanan Sarawak, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pusat Geospatial Negara (PGN) dan wakil dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). 

JPDSN merupakan platform utama dalam menyelaras dan menyelesaikan isu atau masalah yang berkaitan dengan urusan pemetaan dan penyediaan data spatial ke arah memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan. 

Secara keseluruhan, terdapat empat (4) kertas pembentangan khas, tujuh (7) Laporan Jawatankuasa Teknikal dan Kumpulan Kerja yang memfokuskan kepada Sub Jawatankuasa Teknikal iaitu Pengurusan Sumber Tanah dan Alam Sekitar, Pembangunan Sumber Manusia, Piawaian dan Pertukaran Data, Dasar dan Isu-Isu Institusi, Pemetaan Utiliti, Penyelidikan Geoinformasi/ Geomatik Kebangsaan dan Kumpulan Kerja Geodetik dan 13 Laporan Kemajuan Aktiviti Jabatan.

Mesyuarat kali ke-72 kali ini dijalankan secara fizikal dan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa selaras dengan kawalan penularan wabak COVID-19.