Tarikh diterbitkan : 26 Jan 2022

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2022 JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA (JUPEM)

KUALA LUMPUR, 26 Januari - Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 bagi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah diadakan di Dewan Ukur, Ibu Pejabat JUPEM pada hari ini dengan bertemakan “Aspirasi Kejayaan, Memacu Kecemerlangan” yang mengambil inspirasi di atas kejayaan JUPEM dalam memacu kecemerlangan terutamanya dalam bidang ukur, pemetaan dan geospatial. Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 ini telah disampaikan oleh YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I.

Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 telah disertai seramai 100 orang pegawai JUPEM dan kader di dalam Dewan Ukur dengan mengikut SOP yang dibenarkan serta turut disiarkan secara dalam talian (online) di seluruh JUPEM Negeri. Majlis Amanat ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan visi, misi dan hala tuju Jabatan bagi tahun 2022 agar warga JUPEM dapat bekerja dengan lebih proaktif dan agresif dalam melaksanakan tugas serta mengimbas kembali kejayaan Tahun 2021. 

YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Seksyen Pengurusan Sistem Maklumat (SPSM), Bahagian Perancangan dan Korporat di atas kejayaan memenangi "Anugerah Green Computing Award 2021 - Best of Monitoring and Reporting Category" yang dianjurkan oleh Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT). Selain itu juga, penyampaian Sijil Penghargaan turut diberikan kepada Sr Nur Zurairah binti Abdul Halim, Juruukur (SME) dari Bahagian Kadaster di atas pencapaian beliau yang telah dinobatkan sebagai Naib Johan bagi pertandingan INTAN Talk Your Way to the Top (peringkat kebangsaan) yang dianjurkan oleh INTAN. Selain itu, beliau juga telah dianugerahkan sebagai Young Surveyor of the Year Award RISM yang dianjurkan oleh RISM. Pihak Jabatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga JUPEM atas pencapaian yang cemerlang di sepanjang Tahun 2021.