Tarikh diterbitkan : 15 Feb 2022

PROGRAM TRANSFORMASI KEPIMPINAN JURUUKUR DAN JURUGEOSPATIAL JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA (JUPEM) TAHUN 2022

8 & 9 Februari 2022 -  Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menganjurkan Program Transformasi Kepimpinan Juruukur dan Jurugeospatial JUPEM Tahun 2022 yang bertempat di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Tanjung Malim, Perak. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan I, YBrs. Sr Sohaime bin Haji Rasidi dengan bertemakan "Ke Arah Membudayakan Agenda Geospatial 2025 JUPEM" dimana ianya bertepatan dengan Dasar Pendigitalan Negara. Program kali ini turut dihadiri oleh 283 orang Juruukur dan Jurugeospatial pelbagai gred dan jawatan dari Ibu Pejabat JUPEM, semua JUPEM Negeri serta Juruukur dan Jurugeospatial yang berkhidmat sebagai kader di jabatan/agensi lain di seluruh Malaysia. 

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman, memberi pendedahan dalam ideologi kepimpinan serta memperkasakan peranan Juruukur dan Jurugeospatial di JUPEM dalam mengharungi cabaran era teknologi 4.0 pada masa kini.

Terdapat beberapa program pengisian telah diadakan pada hari pertama antaranya ialah sesi Forum Pembentangan Hala Tuju JUPEM yang membincangkan perkara-perkara seperti hala tuju dan Dasar Jabatan dalam Ukur Kadaster dan Pemetaan serta program Usrah Nurani yang disampaikan oleh Dr. Taha bin Mohd Omar yang bertajuk Pemimpin Terbaik Sepanjang Zaman. Selain itu, program diteruskan dengan sesi Transformasi Diri dengan menampilkan Tuan Azlan Al Amin sebagai penceramah yang mengupas tajuk "From Zero to Hero".

Pada hari kedua, program diteruskan lagi dengan sesi ceramah dari Tuan Zamri bin Hj. Darus, Pegawai SPRM Perak dengan mengupas isu-isu Integriti dan Rasuah di kalangan penjawat awam dan diakhiri dengan segmen ‘Now See Health’ yang berkisarkan kepada penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan yang sihat dimana ianya telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II, YBrs. Sr Hj. Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali. 

Semoga Program Transformasi Kepimpinan Juruukur dan Jurugeospatial JUPEM Tahun 2022 ini dapat memberi pendedahan kepada semua Juruukur dan Jurugeospatial dalam mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik dan dapat menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.