Tarikh diterbitkan : 13 Jun 2022

SESI MENANDATANGANI MoU 1 DAN MoU 2 BAGI PERSEMPADANAN SELANGOR – WP KUALA LUMPUR SERTA SELANGOR – WP PUTRAJAYA

SHAH ALAM, 13 Jun 2022 - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah dijemput untuk menghadiri Sesi Menandatangani MoU persempadanan antara negeri Selangor - WP Kuala Lumpur (MoU 2 - Hasrat Penandaan dan Pengukuran Sempadan) dengan anggaran jarak 108.1km serta MoU persempadanan bagi Selangor -  WP Putrajaya (MoU 1 - Setuju Terima Ukuran Sempadan Sedia Ada dengan anggaran jarak 14.1km & MoU 2 - Hasrat Penandaan dan Pengukuran Sempadan dengan anggaran  jarak 29.7km) telah diadakan di Pejabat Menteri Besar Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pagi tadi.
Dokumen MoU persempadanan tersebut telah ditandatangani oleh YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor dengan disaksikan oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia serta YBrs. Yusri bin Zakariah, Pengarah Tanah dan Galian Selangor. Turut hadir pada majlis pagi ini adalah YBrs. Sr Hamdan bin Ab Aziz, Pengarah Ukur Bahagian Ehwal Persempadanan, YBrs.  Sr Bernard Sia Siew Fang, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Selangor serta Sr Nawi binti Hj. Abdullah, Pengarah Ukur Seksyen (Sempadan Negeri dan Penyelarasan), Bahagian Hal Ehwal Persempadanan.
Sesi menandatangani MoU persempadanan ini diadakan secara berasingan dan seterusnya akan disusuli dengan sesi menandatangani MoU persempadanan dari pihak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang akan ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.
Sesi menandatangani MoU ini amat penting kepada JUPEM untuk memulakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan bagi menentukan kedudukan sebenar sempadan antara negeri-negeri terbabit sebelum diwartakan.