Tarikh diterbitkan : 13 Jun 2022

LAWATAN KERJA RASMI KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN TENAGA DAN SUMBER ASLI (KeTSA) KE JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA (JUPEM)

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2022 - YBhg. Dato’ Haji Rosli bin Isa, Ketua Setiausaha (KSU) KeTSA bersama YBrs. Tn. Abdul Wahid bin Abu Salim, Timbalan Ketua Setiausaha KeTSA serta pegawai-pegawai KeTSA telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

YBhg. Dato’ KSU telah disambut oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia. Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi melihat komitmen serta kualiti pengurusan sesebuah organisasi yang bernaung di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Agenda kerja rasmi ini dilihat berupaya untuk menjadi prospek pertemuan dua hala strategik antara pihak Kementerian dengan Jabatan.

Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat Jabatan yang disampaikan oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia mengenai latar belakang, pencapaian dan hala tuju Jabatan. Sesi seterusnya adalah penyampaian amanat oleh YBhg Dato’ KSU bagi memastikan JUPEM berada dalam hala tuju yang tepat. 

Pihak Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Delegasi KeTSA atas kesudian lawatan kerja rasmi ke JUPEM.