Tarikh diterbitkan : 16 Jun 2022

MAJLIS MESRA AIDILFITRI ANJURAN KEMENTERIAN TENAGA DAN SUMBER ASLI (KeTSA)

KEDAH, 30 Mei 2022 – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menganjurkan Majlis Mesra Aidilfitri di Dewan Al-Hana, Sik, Kedah bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 4.00 petang. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri KeTSA. 

Majlis ini telah melibatkan semua agensi-agensi yang berada di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan pelbagai jenis juadah raya disediakan oleh agensi-agensi ini untuk disajikan kepada para pengunjung.

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) merupakan salah satu agensi yang berada di bawah KeTSA dan telah dilantik selaku penyelaras bersama bagi penganjuran majlis ini. Sr. Tsalimy bin Abdullah, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Kedah berperanan dalam menjayakan majlis dan turut dibantu oleh pegawai dan kakitangan JUPEM Kedah.

Dalam majlis ini, JUPEM telah menyediakan sajian bihun sup utara untuk gerai raya JUPEM di dewan utama. Manakala di dewan pameran, booth JUPEM dibuka untuk mempromosikan peranan JUPEM kepada para pengunjung yang hadir dengan mengedarkan peta Negeri Kedah, peta Daerah Sik dan lain-lain peta rampaian untuk diberikan kepada pengunjung. Beberapa pegawai dari Bahagian Perancangan dan Korporat, JUPEM Ibu Pejabat juga turut bersama-sama membantu JUPEM Kedah dalam menjayakan majlis ini. 

Pihak JUPEM merakamkan ucapan terima kasih kepada warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)  dan agensi-agensi yang terlibat dalam menyediakan juadah untuk majlis pada hari ini.