Tarikh diterbitkan : 16 Jun 2022

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1443H DI PERINGKAT IBU PEJABAT JABATAN UKUR DAN PEMETAAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2022 - Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443H di Peringkat Ibu Pejabat JUPEM pada 26 Mei 2022 bertempat di Dewan Ukur JUPEM. Sambutan ini turut disertai oleh komuniti ukur lain iaitu Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) dan Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia (RISM) dan Yayasan Juruukur Tanah Berdaftar (JTB).

Majlis ini dihadiri oleh YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, YBhg. Datuk Sr Ismail bin Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Juruukur Tanah, YBhg. Dato’ Sr Dr.Azhari bin Mohamed, Presiden Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia (RISM), YBrs. Sr Dr. Hj Nordin bin Ahmad, Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA)dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) JUPEM. Selain itu, majlis ini juga turut diraikan bersama-sama dengan Warga JUPEM Ibu Pejabat termasuk Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri, komuniti ukur dan Anak Yatim & Asnaf AnNaafi. 

YBrs. Sr Mohammad Zaki bin Mohd Ghazali diiringi oleh Puan Yusmaniah binti Yusof, Pengerusi PUSPANITA JUPEM turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sebagai tanda memupuk perasaan keprihatinan dan bertimbang rasa terhadap golongan yang memerlukan. Sumbangan juga turut diberikan kepada kakitangan keselamatan bagi menghargai jasa dan pengorbanan dalam menjaga keselamatan premis JUPEM terutamanya semasa cuti perayaan.