Tarikh diterbitkan : 03 Oct 2024

JUPEM MUKTAMADKAN PELAN KERJA PENGUKURAN SEMPADAN NEGERI JOHOR – MELAKA DIPERSETUJUI PIHAK BERKUASA NEGERI | 24 September 2024

JUPEM MUKTAMADKAN PELAN KERJA PENGUKURAN SEMPADAN NEGERI JOHOR – MELAKA DIPERSETUJUI PIHAK BERKUASA NEGERI |   24  September  2024

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) Projek Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama antara Negeri Melaka dan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2024 telah diadakan pada 24 September 2024 di Wisma Negeri Melaka. 

Mesyuarat ini telah dipengerusikan secara bersama oleh YBhg. Datuk Noraini binti Tawel, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka dan YBrs. Tuan Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor. Antara yang hadir adalah Sr Rosli bin Mohammed, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Johor, YBrs. Sr Nik Mohd Wafi bin Nik Mohamed Daud, Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka, YBrs. Tuan Hazrey bin Tomyang, Timbalan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Delegasi Ibu Pejabat JUPEM dihadiri oleh Sr Mohd Farid Al-Azmi bin Isahak, Pengarah Ukur Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung dan Sr Salmah binti Saleh, Timbalan Pengarah Ukur Bahagian Ehwal Persempadanan. 
  
Mesyuarat ini telah merakamkan detik bersejarah Sesi Menandatangani Pelan Kerja Hasil Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama antara Negeri Melaka dan Negeri Johor yang telah diukur oleh Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung dengan kerjasama JUPEM Johor dan JUPEM Melaka. Memorandum Persefahaman Hasrat Penandaan dan Pengukuran ini telah ditandatangani pada 28 Jun 2005 seterusnya memberi mandat kepada JUPEM bagi melaksanakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan dan berjaya menyelesaikan ukuran yang bermula tahun 2005 - 2010 dan bermula 2013 - 2024 melibatkan pelbagai peringkat mesyuarat, kajian, rundingan dan konsultasi, lawatan teknikal di lapangan, pemprosesan data dan penyediaan pelan kerja sebanyak 50 lembar. 
  
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ke atas kejayaan pemuktamadan pelan kerja pengukuran sempadan Melaka - Johor. JUPEM mensasarkan perjanjian sempadan darat dan maritim antara kedua-dua Negeri dapat dimuktamadkan selepas ini dan disambut baik oleh JBT dalam usaha memastikan sempadan kedua-dua negeri dapat diselesaikan seterusnya mendorong ke arah pengurusan dan penyeliaan pentadbiran serta pembangunan di sekitar sempadan yang mampan dan bersepadu.